Demam pilihanraya umum sudah tiba. Kesemua parti-parti politik sudah pun menyebut-nyebut tentang hal tersebut. Cuma bila masanya belum pasti. Perdana Menteri pun tidak tahu bila tarikh pilihanraya kerana kuasa Perdana Menteri adalah mencadangkan pembubaran parlimen sahaja. Bila pembubaran telah dikemukan pada Yang DiPertuan Agong dan diperkenankan maka terbubarlah keahlian kedua-dua cabang parlimen, baik Dewan Rakyat mahupun  Dewan Senat. Kemudian SPR yang akan menetapkan pilihanraya. Manakala kabinet/exco yang ada berubah menjadi badan pentadbiran sementara.

Namun masyarakat masih keliru tentang soal memilih pemimpin. Ini kerana dalam pilihanraya yang dipilih ialah wakil kepada rakyat untuk Dewan Rakyat (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi bukanlah pemimpin yang dipilih.

Ahli-ahli Parlimen mahupun DUN akan mengikut dari belah parti mana mereka datang. Pemimpin sebenarnya dipilih oleh ahli-ahli parti yang bertanding. Oleh yang demikian dikalangan wakil-wakil rakyat tersebut, mereka yang memegang jawatan terkanan didalam parti yang akan dicadangkan pada Ketua Negara/Negeri untuk menjadi pemimpin. Oleh itu adalah tidak tepat jika beranggapan bahawa pilihanraya adalah tempat untuk memilih pemimpin.

Dalam hal ini BN ternyata mempunyai organisasi yang lebih tersusun, dengan Pengerusi BN sudah hampir pasti adalah calon PM bagi parlimen, manakala timbalannya ialah Timbalan Pengerusi BN. Kedua-dua jawatan ini dipegang oleh UMNO sebagai komponen terbesar didalam BN. Andaikata ada kekosongan didalam heiraki tersebut, ia akan mengikut heiraki kepimpinan didalam UMNO, yang mana ketiadaan penyandang kerusi Presiden/Tim Presiden akan diisi oleh penyangdang kerusi Naib Presiden mengikut kekanaan masing-masing.

Tetapi hal yang sama tidak jelas didalam pakatan pembangkang. Ini kerana “Pakatan Rakyat” itu sendiri bukanlah pakatan berdaftar. Buat masa ini calon de facto untuk perdana menteri dari pakatan ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Namun ianya terhenti disitu sahaja. Tiada saf kepimpinan yang jelas malah tidak diketahui siapakah atau parti manakah yang merupakan teras kepada pakatan pembangkang.

Oleh itu amatlah merbahaya jika dituruti politik Pakatan Rakyat. Jelas sekali rakyat akan berhadapan dengan ketidak stabilan pentadbiran.