http://www.malaysiakini.com/news/152046

Baju ketat: Keluarkan senarai ‘OK tak OK’, kata Teo

Anggota parlimen Serdang Teo Nie Ching yang dihurung kontroversi terbaru berhubung isu pakaiannya di perkarangan sebuah masjid di Cheras, hari ini meminta satu senarai pantang larang disediakan berhubung perkara itu. Wakil rakyat DAP itu berkata, ini kerana, hampir 30 tahun tinggal di Malaysia, berdasarkan pelbagai persoalan sekitar umat Islam dan bukan Islam, beliau menjadi semakin keliru. “Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk surau? Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk perkarangan masjid? Sama ada orang bukan Muslim boleh baca Quran? Sama ada orang bukan Muslim boleh guna Kalimah Allah?” soalnya bertalu-talu. “Sekiranya Datuk Seri Najib (Razak) dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain cannot be bothered untuk menjawab soalan-soalan saya, mungkin pemimpin-pemimpin MCA, GERAKAN ataupun MIC boleh mengeluarkan satu senarai ‘OK Tak OK’ untuk semua warga bukan Muslim negara ini?” tegasnya.

 [Komen: Org bukan Islam boleh masuk masjid atau surau asalkan memakai pakaian yang betul menutupi aurat. Sedangkan para muslimah pun harus patuh pada peraturan ini kenapa YB Teo tak boleh. Org bukan Islam boleh membaca Al-Quran, tak da sapa nak larang mudahan mendapat hidayat la. Orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kata ganti nama Allah untuk Tuhan mereka jika menulis hal tersebut dalam Bahasa Malaysia/Melayu. Tuhan adalah kata ganti nama yang lebih sesuai. Tapi kalau berkomunikasi sama ada penulisan/lisan dlm bahasa Arab boleh la’ kot’ … Nik Aziz kata org Arab dah beratus tahun guna nama Allah …. Tapi dlm Arab la …. ]

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, selepas kontroversi memasuki surau di Kajang Ramadan lalu, Teo didakwa masuk ke perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong dengan memakai baju ketat dan melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid. Memetik sebuah blog, harian berbahasa Melayu itu dilapor mempersoal sama ada Islam yang diperjuangkan PAS di Selangor berbeza dengan negeri-negeri lain, seperti Kelantan yang mengasingkan kaunter bayaran berlainan jantina. Blog tersebut, Ruang Bicara Faisal juga dilaporkan menyindir sama ada tahun depan mungkin masjid itu boleh menganjurkan pesta tari-menari dalam kawasannya sebagai sebahagian acara sambutan Maal Hijrah. Teo: Utusan tak layak beri ajaran agama Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Teo berkata, walaupun Najib memberikan pelbagai saranan kepada media dalam sebuah konvensyen akhbar Cina pada 20 Disember, dalam masa yang sama, Utusan “memainkan isu agama dan kaum yang sempit dan bahaya.” “Adalah jelas sekali bahawa Utusan Malaysia bukanlah penggalak kesederhanaan tetapi penggalak ekstremisme, tetapi adakah perdana menteri ataupun menteri dalam negeri akan mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia?” katanya. Mempertahankan tindakannya, Teo yang juga pembantu setiausaha publisiti DAP menjelaskan, tindakannya menyertai program masjid itu bertujuan merapatkan hubungan antara komuniti. “Sudah banyak kali saya lihat orang bukan Islam menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di perkarangan masjid. Jadi, apa kesalahan saya untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di perkarangan surau ataupun masjid apabila dijemput?” “Adakah saya salah kerana saya memang telah melanggar ajaran Islam? Ataupun sebab saya seorang ahli politik DAP?” soalnya. Mengambil peluang itu, beliau mengkritik Utusan yang didakwanya hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman ekstremis baik aspek kaum, jantina mahupun agama. “Saya tidak akan ikut adat yang ditetapkan oleh Utusan Malaysia ataupun Umno kerana saya percaya Utusan Malaysia tidak layak untuk memberi ajaran agama Islam,” kata anggota parlimen muda itu.

 [Komen: Kot ye pun nak masuk masjid jaga la tatasusila …. Kalau nak bersenam robik pun takkan la kat Selangor ni dah tak de padang2 yang lebih sesuai untuk dilaksanakan aktiviti riadah …. Masjid adalah tempat awam untuk umat Islam, keutamaan adalah untuk sesiapa juga melaksanakan sebarang bentuk ibadah, aktiviti lain, jika tidak mengganggu barulah hukumnya harus … sedangkan umat Islam kalau baca Al-Quran kuat2 dlm masjid pun jika ada umat Islam lain yang sedang bersolat pun hukumnya tak boleh, kerana nanti mengganggu … apa tah lagi nak bersenam robik … kesimpulannya YB Teo memang telah melanggar ajaran Islam, tatasusila dan sensitivity umat Islam (bukan umat PAS, PAS depa for All) … saya sarankan adalah lebih baik YB Teo memeluk ugama Islam jika sangat2 berminat untuk mengimarahkan masjid]