Ada lagi rupanya kes berkenaan dengan status Islam/bukan Islam, itu hari kes Lina Joy, skrang kes Allahyarham Moorthy,  … syabas pada Hakim2 Mahkamah Rayuan yang menetapkan bahawa kes itu adalah hak Mahkamah Syariah untuk menentukannya … harapnya pihak yang terlibat haruslah ke Mahkamah Syariah …. bukannya susah pun …

21/8/2010:: Hanya Mahkamah Syariah Boleh Putuskan Sama Ada Seseorang Itu Islam Atau Tidak (mstar)

Panel hakim itu membuat keputusan berkenaan ketika menolak rayuan oleh S.Kaliammal, balu pendaki Everest negara Sarjan M. Moorthy, yang penukaran agamanya kepada Islam telah menimbulkan pertikaian.Mahkamah kemudian mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Dis 2005, yang enggan menentukan status agama suami beliau atas alasan perkara bersifat sedemikian terletak dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Kaliammal kemudiannya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Beliau memfailkan saman pemula pada 21 Dis 2005 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pengarah Hospital Kuala Lumpur dan kerajaan selaku responden, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa Moorthy seorang penganut agama Hindu.

Pada hari berikutnya, Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kuala Lumpur memperoleh perintah ex-parte daripada Mahkamah Syariah yang menyatakan bahawa Moorthy telah pun memeluk agama Islam sebelum beliau meninggal dunia.

Perintah itu turut membenarkan majlis berkenaan mengebumikan Moorthy, atau nama Islamnya Mohamad Abdullah, menurut upacara pengebumian Islam.

Beliau dikebumikan pada 28 Dis 2005 di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota di Gombak, Selangor. Moorthy menjadi lumpuh dari pinggang ke bawah selepas terjatuh semasa dalam latihan di Kem Sungai Udang di Melaka pada 14 Ogos, 1998 dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Bekas komando tentera itu kemudiannya koma setelah terjatuh dari kerusi roda dan meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur pada 20 Dis 2005.

Dalam penghakiman 14 muka surat itu, Hakim Zainun berkata perayu (Kaliammal)tidak dihalang daripada memohon kepada Mahkamah Syariah untuk cuba mengetepikan perintah ex-parte itu, bagi Mahkamah Syariah membuat keputusan yang adil dan saksama menurut agama Islam serta undang-undang Islam.