Cadangan untuk melaksanakan GST dikemukakan lagi. Kali ini atas alasan bahawa pendapatan negara semakin berkurangan, dan GST dikatakan mampu untuk meningkatkan lagi hal tersebut. GST ataupun cukai barangan adalah satu perkara yg masih asing lagi bagi Malaysia, namun ia telah dilaksanakan dipelbagai negara maju antaranya Amerika Syarikat, Kanada dan Australia. Kadar GST dinegara-negara terbabit ada juga perbezaan diantara negeri-negeri dan wilayah masing mengikut undang-undang setempat.

Di Australia misalnya GST dimasukkan sekali didalam resit pembayaran, pembeli dapat merujuk pada resit sebanyak mana yg dikenakan cukai tersebut.

Di Kanada pula ada sesetengah wilayah yang turut mengenakan lagi GST, dipanggil PST, jadi cukai dah dibayar dua kali, satu pada kerajaan pusat, satu pada kerajaan negeri. Kalau setiap satu kena 7%, bila dah dua jadi 14%. Maka harga barang yg dibeli kena campur lagi 14% tax. Mampuih bayar tax. Tapi ada pula baiknya kerana dipenghujung tahun mereka yg dibawah kadar pendapat bercukai dapat rebat dalam bentuk cek ataupun dimasukkan terus ke akaun bank masing-masing. Kalau isteri tidak bekerja dapat tambah lagi sikit, kalau anak-anak masih kecil dapat tambah lagi, kira macam bonus kerajaan la.

Sebenarnya perlaksanaan GST ni kena ambil perhatian yang serious. Ahli ekonomi mungkin tiada pengetahuan dari segi psikologi pengguna maka terdorong untuk mencadangkan sesuatu yang termaktub didalam buku.

Isu harga barang memang sesuatu yang cukup serious bagi Malaysia. Tengok sahaja apa yang terjadi bila harga petrol naik RM2.00 tahun lepas. Natijahnya parti BN yang memerintah hampir lingkup dikerjakan rakyat. Harga barang memang boleh menjadi pemangkin mendidihnya darah rakyat. 

Dalam hal ekonomi, Malaysia tidak seharusnya bulat-bulat mengamalkan pendekatan negara barat. Sistem mereka telah terbukti boleh hancur lebur. Lehman brothers, GM, Chrysler dan Bank of America pun terlingkup. Kerajaan kena mengambil contoh Tun Dr. Mahathir ketika krisis gawat 1997. Tun Mahathir telah memacu Malaysia ikut cara yang diluar dari kotak, hasilnya Malaysia berjaya. Maka carilah pendekatan lain, yang terpernah terpikir oleh orang lain. Ingatlah Malaysia ini unik, maka teknik penyelesaian masalahnya pun patutnya unik jugalah.

 —————————————————————————————————————–

Utusan Malaysia 15/10/2009:

Elak bahayakan ekonomi

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Kerajaan perlu melakukan pembaharuan cukai di negara ini termasuk meluaskan asasnya bagi meningkatkan sumber pendapatan yang banyak bergantung kepada sumber asli.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, perluasan sumber pendapatan perlu dilakukan sebelum kekurangannya menimbulkan kesan bahaya kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.

Beliau berkata, pendapatan negara telah menunjukkan penurunan ketara sedangkan perbelanjaan semakin meningkat.

Pada 2008, daripada jumlah pendapatan kerajaan sebanyak RM160 bilion, sebahagian besarnya atau 41 peratus disumbangkan oleh minyak dan gas, cukai korporat 24 peratus, pendapatan lain 26 peratus dan personal sebanyak sembilan peratus.

”Berdasarkan pendapatan semasa dan aliran perbelanjaan, MIER mengunjurkan defisit bajet negara boleh mencapai 15.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

”Kita tidak boleh bergantung sangat kepada sumber minyak dan gas kerana harga komoditi semakin tidak menentu dan rizab juga berkurangan.

”Saya pasti kerajaan mempunyai pelbagai pendekatan untuk meningkatkan pendapatannya kerana jika sudah mencapai paras ini (15.2 peratus) kita sudah berada ditahap bahaya,” katanya.

Malaysia pernah mengalami defisit fiskal terbesar sehingga 16 peratus pada tahun 1980an.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan sewajarnya mengumumkan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Bajet 2010 sebelum ia diperkenalkan pada 2011 atau 2012.

Jelas beliau, Malaysia sepatutnya memperkenalkan GST pada 2007, tetapi menangguhkannya kerana kadar inflasi tinggi ketika itu.

”Kita patut melaksanakan GST kerana bilangan pembayar cukai di negara ini masih lagi kecil.

”Jadi, kalau GST dilaksanakan, semua pihak perlu membayarnya kerana cukai itu berdasarkan perbelanjaan dan bukannya pendapatan. Mereka yang kurang berbelanja tidak terjejas,” ujarnya.

Beliau juga meramalkan kerajaan menurunkan cukai korporat dan individu sebanyak satu hingga dua peratus dalam Bajet 2010.

Katanya, penurunan cukai-cukai itu tidak akan menjejaskan pendapatan kerajaan kerana ia mengambil kira prestasi ekonomi pada 2010 lebih baik pada tahun ini.

”Saya menganggapnya sebagai tonik kepada keperluan ekonomi selepas kerajaan melonggarkan polisi liberalisasi dan untuk merealisasi hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat pelaburan serantau,” tambahnya.

Kadar semasa cukai korporat adalah 25 peratus manakala cukai ke atas pendapatan pula sebanyak 12 peratus berdasarkan pendapatan tahunan berjumlah RM35,000 hingga RM50,000.

Beliau juga meramalkan Bajet 2010 bakal menyaksikan peningkatan kadar defisit fiskal yang lebih besar kepada lapan peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 4.8 peratus pada tahun lalu.

Angka itu lebih besar berbanding unjuran kerajaan sebanyak 7.6 peratus.

”Saya berpendapat pungutan cukai tahun ini tidak akan mencapai sasaran kerajaan dan sekiranya jumlahnya lebih rendah berbanding jangkaan, perbelanjaan akan meningkat.

”Kemungkinan besar defisit bajet untuk 2010 naik antara lapan dan sembilan peratus pada 2010 tetapi ia bukan sesuatu yang membimbangkan,” katanya.

Mohamed Ariff berkata, Malaysia telah mengalami bajet defisit selama 46 tahun sejak kemerdekaan 52 tahun lalu.

Malaysia hanya mengalami lebihan pendapatan selama enam tahun sahaja.

Beliau menambah, keadaan itu berlaku kerana Malaysia kurang disiplin fiskal dan takut untuk mencuba mengimbangi akaun meskipun ketika ekonomi stabil.