M-Star melaporkan:

Sabtu Julai 25, 2009

Liu dedah butiran perbelanjaan DUN Sg. Pelek

PETALING JAYA: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu petang tadi mendedahkan butiran perbelanjaan awam bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek, sekali gus menafikan wujudnya elemen penyalahgunaan dana kerajaan.

Sambil mendakwa dokumen-dokumen yang dimuatkan dalam blog http://t4tbh.blogspot.com yang muncul sejak kelmarin, sebagai maklumat palsu, pemimpin DAP itu memberitahu, beliau mempunyai rekod butiran perbelanjaan dan bukti dalam bentuk foto.

“Kami menggunakan prosedur yang telah digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (sebelum ini).

“Dan, kami melakukan lebih daripada itu dengan mempunyai bukti foto,” kata beliau sambil menambah, kesemua program yang dianjurkan memerlukan kelulusan pegawai-pegawai daerah terbabit sebelum dilaksanakan.

Liu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran mendakwa pengendali blog berkenaan telah memalsukan butiran yang diperoleh daripada blognya (www.colour-blind.org) bagi menggambarkan pemimpin-pemimpin DAP sebagai korup.

“Blog itu mendakwa lima hingga 10 peratus peruntukan disalurkan kepada ADUN ataupun Ibu Pejabat DAP (sebagai komisyen).

“Ia satu pembohongan. Jika St. John’s (Ambulans) memperoleh RM30,000 daripada saya, mereka akan menerima RM30,000. Tidak satu sen pun kurang,” kata beliau kepada pemberita di sini.

Sambil menolak beberapa perkara yang ditunjukkan oleh blog berkenaan, Liu berkata, wujud kesilapan yang cukup ketara termasuk perbelanjaan bagi program yang dijalankan pada Januari dan Februari tahun lalu.

Pilihan raya umum diadakan Mac 2008.

Banyak aspek yang digambarkan oleh blog berkenaan adalah sesuatu yang sengaja “dibuat”, antaranya pembelian hamper bagi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Seberang Perai, Pulau Pinang.

Ketika ditanya mengapa beliau mengambil berat soal peruntukan kerajaan untuk bahagian DUN Sungai Pelek, Liu berkata, ada ADUN yang dikhaskan untuk menyedia kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi oleh Barisan Nasional.

“Ini diputuskan oleh Exco Kerajaan Negeri kerana kami tidak percayai ADUN Barisan Nasional,” katanya.

Liu juga menjelaskan sebab ahli Majlis Perbandaran Sepang, Wong Chuan How merupakan penerima kebanyakan bayaran di DUN Sg. Pelek.

“Wong bukan merupakan kontraktor. Kadangkala cek dihantar kepada pusat khidmat saya terlebih dahulu dan Wong merupakan pemilik akaun bagi pusat khidmat saya.

“Ini berlaku apabila kami tidak boleh mengeluarkan cek secara langsung seperti bayaran bagi makanan, kanopi dan sistem PA,” katanya.

Wong yang turut hadir pada sidang media itu berkata, beliau juga merupakan pembantu khas kepada Liu bagi kawasan Sungai Pelek dan Setiausaha DAP Cawangan Sungai Pelek.

Kenyataan Ronniu Liu bahawa Kerajaan Pakatan DAP/PKR/PAS tidak percaya pada ADUN2 BN jelas merupakan satu penindasan. Mungkin penindasan dan kezaliman jika dilakukan oleh Pakatan DAP/PKR/PAS ianya akan menjadi HALAL.