Kerajaan perpaduan adalah satu ilham yang dicetuskan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Ia adalah satu cadangan untuk membentuk satu kerjasama antara PAS dan parti-parti politik lain, selain dari PKR dan DAP.

Ia menjadi isu hangat diantara pemimpin-pemimpin PAS sendiri dan juga pemimpin-pemimpin PKR. Isu tersebut mula menjadi hangat apabila rahsia pertemuan diantara tokoh-tokoh PAS yang diketuai oleh Tim Presiden Nasaruddin Mat Isa dan bekas PM Tun Abdullah Ahmad Badawi telah tersebar.

Pertemuan tersebut telah menyebabkan Dato’ Nik Aziz hampir merajuk dan berpatah arang dengan Hadi Awang. Demi meredakan ketegangan didalam pihak PAS sendiri, istilah yang pada mulanya dikenali sebagai Muzakarah, telah ditukar kepada Muqabalah.

Dikalangan parti politik lain, UMNO menyambut baik cadangan tersebut. Namun MCA membantah keras atas dengan alasan yang berbaur prejudis dan perkauman.

PKR dan DAP juga turut membantah. Pengerusi DAP, Karpal Singh menyelar Hadi Awang dan PAS dengan kenyataan bahawa PAS hanyalah sebuah parti yang menang kerusi parlimen paling sedikit berbanding DAP dan PKR. Satu perkara yang Karpal juga agak terlepas pandang ialah, walaupun jumlah kerusi PAS paling sedikit, jika PAS menarik balik kesemua kerusinya, 1/3 kekuatan pakatan DAP-PKR-PAS turut terjejas. Ini kerana perbezaan kerusi diantara mereka hanya sedikit.

Malahan beberapa orang tokoh terkemuka PAS turut membantah. Selain dari bantahan oleh Nik Aziz, nada yang sama turut dilaungkan oleh bekas Naib Presiden PAS Husam Musa. Ia menjadi pendorong bagi Husam Musa untuk mencabar sekurang-kurangnya Nasharuddin Mat Isa sebagai Tim Presiden. Namun Husam tewas dalam pertandingan tersebut.