Berakhir sudah Perhimpunan Agong UMNO Ke-59 pada 28/3/2009 dengan pelbagai episod dan drama. Media-media seluruh negara, sama ada yang pro kerajaan atau pembangkang telah memberikan perhatian yang cukup tinggi pada persidangan tersebut. Pemilihan YB Khairy Jamaluddin sebagai ketua Pemuda UMNO telah menjadi bahan bualan, hinggakan media pro-pembangkang secara amnya seolah-olah bersyukur kerana satu lagi bola tanggung telah diperolehi.

Kemenangan YB Khairy seolah-olah satu duri dalam daging kerana beliau telah didapati bersalah oleh lembaga displin UMNO sendiri kerana terlibat dalam politik wang. Pun begitu hanya terlepas dengan amaran, sedangkan Dato’ Ali Rustam yang merupakan calon Timbalan Presiden telah digugurkan kelayakannya kerana kesalahan yang sama. Ternyata YB Khairy bakal menghadapi satu cabaran yang agak sukar untuk membuktikan dirinya kepada ahli-ahli UMNO sendiri dan juga pada rakyat Malaysia secara am.

Namun demikian, kesedihan penyokong-penyokong UMNO seolah-olah terubat seketika ketika Tan Sri Muhyiddin diisytiharkan menang kerusi Timbalan Presiden UMNO. Tan Sri Muhyiddin dilihat semua pihak sebagai satu-satunya calon yang benar-benar layak untuk ke jawatan tersebut. Malahan Tun Dr. Mahathir yang sebelum ini merajuk (mungkin kerana anakandanya tewas pun iya, mungkin kerana Khairy yg menang pun iya, tapi tidak jika Khir Toyo yang menang) sudi untuk menghadirkan diri ke perhimpunan Agong, berdamai semula dengan Dato’ Seri Abdullah dan menyertai UMNO. Kehadiran Tun adalah satu kemenangan moral buat UMNO. Ia juga adalah satu kemenangan moral untuk Najib dan Muhyiddin. 

Harapan penyokong-penyokong UMNO pada kedua Najib dan Muhyiddin amatlah tinggi. Najib telah memberikan petunjuk bahawa beliau akan melakukan pembaharuan yang besar pada UMNO dan juga pada negara.

Bagi UMNO, Najib berikrar untuk mengkaji semula sistem pemilihan yang ada kini, dari segi pengundian, pencalon, kuota dsb. Bagi negara pula beliau berjanji untuk menumpukan sepenuh perhatian untuk memulihkan ekonomi negara yang sedang mengalami kemelesetan ekonomi global.

Dato’ Seri Najib tiada pilihan lain melainkan untuk berjaya sahaja. Kegagalan Najib memenuhi janjinya bakal mengakibatkan UMNO berkubur dan negara mengalami ketidakstabilan yang berpanjangan.