Teringat pada kisah orang Penan setelah menonton sebuah dokumentari oleh BBC.

Dokumentari tersebut berkisar tentang pengalaman seorang pengkaji sosiologi yang berminat untuk menyaksikan sendiri bagaimana kehidupan orang Penan di Sarawak.

Dianggarkan kaum Penan di Sarawak dalam sekitar 200 orang (kira-kira 4 kali ganda kurang dari bilangan perwakilan Pemuda UMNO diperhimpunan agung 2009). Mereka hidup secara bermasyarakat yang nomad. Aktiviti utama adalah memburu dan mengumpul hasil hutan.

Pengkaji tersebut mengakui bahawa dia masuk ke lokasi orang Penan secara senyap-senyap untuk mengelak dari diberkas oleh pihak berkuasa.

Sepanjang beberapa minggu tinggal bersama kaum Penan tersebut, pengkaji mengkagumi sikap keramahan kaum Penan tersebut. Malah kaum Penan juga telah melayan pengkaji tersebut dengan baik.

Tidak seperti Bruno Manser yang pernah menggegarkan negara dengan isu-isu kaum Penan secara agresif dan ganas, pengkaji dokumentari ini tidak berminat dengan isu seperti itu. Namun begitu, jelas didalam dokumentari tersebut kaum-kaum Penan dari generasi muda hingga ke tua bersungguh-sungguh mendesak agar sipengkaji dapat memberikan satu penyelesaian untuk mereka. Ini benar-benar satu dugaan yang berat, kerana sipengkaji itu sendiri merasa serba-salah.

Namun demikian, dokumentari tersebut telah menyimpulkan bahawa kaum Penan berpendapat bahawa mereka lebih selesa hidup didalam hutan, memburu dan meneruskan tradisi kehidupan nomad. Kaum Penan tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang realiti politik semasa antara hubungkait kerajaan Malaysia dengan taraf  orang Penan sebagai warganegara. Syarikat-syarikat pembalakan adalah satu pihak yang ganas yang tidak digemari oleh kaum Penan.

Malahan beberapa orang Penan yang ditemui dalam dokumentari tersebut, beranggapan bahawa Penjajah British adalah pemerintah yang terbaik kerana British tidak menggangu kehidupan mereka. Mereka seolah-olah beranggapan bahawa Kerajaan Malaysia adalah penjajah.

Namun sebuah dokumentari tidak boleh dijadikan ukuran kerana ia sendiri bukanlah satu kajian yang menyeluruh. Apakah sebenarnya yang diperjuangkan oleh orang Penan agak kabur. Mereka orang Penan tidak menolak kemajuan, tetapi konsep kemajuan mereka mungkin agak asing.

Apa pun pihak Kerajaan Malaysia dan Sarawak sudah tentu lebih memahami isu orang Penan. Yang dikhuatiri ialah orang-orang Penan tersebut telah menerima dakyah songsang kumpulan2 pejuang hak asasi barat yang lebih suka melihat orang-orang Penan hidup dalam keadaan yang sama seperti beratus tahun dahulu dan sekadar menjadi hiburan dan objek kajian akademik.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya merasa sedih jika kaum Penan masih ketinggalan berbanding kaum-kaum yang lain dalam era zaman kecanggihan siber ini. Namun sepertimana Pemuda UMNO yang tidak rela meninggalkan amalan yang sudah menjadi tradisi darah daging mereka, tiada siapa yang berhak memaksa kaum Penan untuk mengubah cara hidup tradisi. Mungkin juga kurang usaha dari pihak lain untuk benar-benar mengubahnya?